Wednesday, January 13, 2016

Ketika Mata Terpejam


Innalillah hiwainna ilaihirojiun.
Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu'anha.

Maksudnya: "Sesungguhnya kita semua adalah milik Allah dan kita semua akan berpulang kepadaNya. Semoga Allah mengampuninya, merahmatinya, memberikan keselamatan dan memaafkan kesalahannya.".

Pagi tadi ketika baru melangkah masuk ke pejabat, kami mendapat perkhabaran hiba iaitu seorang staff vendor kami telah kembali ke Rahmatullah. Ya Allah, apakah ini benar? Baru semalam rasanya saya mengusik dia ketika mahu keluar sarapan pagi. Masih terngiang lagi usikan saya pada dia.

Allahyarhamah merupakan seorang ibu muda dua anak. Anak-anaknya masih kecil, seorang berusia 2 tahun dan seorang lagi baru 4 bulan..masih menyusu. Allah! Tatkala mendapat berita ini tadi, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya  adalah anak-anaknya. Ya Allah, bagaimanakah penerimaan anak-anak ini? Sayu hati seorang ibu mengenangkan perkara ini. Sebak sangat rasa dada ini.

Pergi menziarahi arwah tadi, dan melihat sebujur tubuh terbaring kaku seolah sedang tidur. Mengenangkan bagaimana arwah adalah seorang yang lembut bicaranya, selalu dilihat ke surau untuk solat sunat Dhuha dan solatnya di awal waktu. Pemakaiannya memang melambangkan muslimah sejati. Ya Allah, sesungguhnya Kau lebih sayangkan mereka.

Tidak dapat bayangkan sekiranya ini terjadi kepada diri saya sendiri. Mati itu pasti. Cuma bila, bagaimana, dan di mana..itu yang kita tak tahu. Hanya mampu berdoa semoga dipermudahkan jalan kita kembali.

Andai ditentukan aku juga pergi dulu, ku titipkan coretan ini buat semua...

Suamiku,
Aku amat menyayangimu,
Aku mahu kita bersama sampai Syurga
Ku mohon,
luruskan jalanmu,
bawalah aku dan anak-anak ke jalan yang benar,
pimpinlah kami ke Taman Firdausi.
Indahnya andai kita bersama di sana nanti.

Buat suamiku tercinta,
Andai daku telah pejam mata..
Dan, takkan dapat melihatmu dan anak-anak lagi..
Ku doakan kita berjumpa di Syurga.

Suamiku,
Andai aku tiada lagi,
Aku amanahkan anak-anak ini kepadamu..
Kau bimbinglah mereka ke jalan yang benar,
Pegang erat tangan anak-anak kita agar tiada seorang pun yang tercicir,
agar tiada seorang pun kau abaikan.

Anak-anakku,
Ummi sayang kalian,
ummi mahu terbaik untuk kamu..
andai ummi selalu marah, maafkan ummi,
andai ummi selalu tak terkawal emosi,
maafkan ummi,
semoga waktu kita bersama masih ada.
Andai terhenti waktunya,
kalian pilihlah jalan yang diredhai,
Jika sesat, carilah tangan yang mampu bawa kalian ke pangkal jalan.

Mak ayah,
andai along pergi dulu..
Halalkan segalanya yang telah kalian berikan kepada anakandamu ini.
Daku tak mampu membahagiakan kalian di dunia ini,
namun, along harap dapat membahagiakan mak ayah di Syurga kelak.
Semoga kita bersama di sana nanti.

Buat keluarga, rakan-rakan, sahabat yang mengenali daku,
terima kasih kerana menjadi teman suka duka,
Maafkan segala kekhilafan selama perkenalan kita,
Doakan kita jumpa di Syurga nanti.


Wallaua'lam.






my sign

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda.